Fosil nenek moyang ‘Hobbit’ ditemui
PARIS – Spesies manusia bersaiz separa dan hidup 700,000 tahun dahulu hampir dikenal pasti sebagai nenek moyang puak kerdil “Hobbit” yang fosilnya ditemui di kepulauan sama di Indonesia pada 2003.
Dua kajian disiarkan dalam jurnal Gap kelmarin memberikan lebih pemahaman tentang evolusi manusia prasejarah ini yang pupus sekitar 50,000 tahun lalu,
Kajian melibatkan fosil gigi dan tulang seorang individu dewasa dan dua kanak-kanak yang ditemui di Kepulauan Flores pada 2014 itu mengukuhkan teori bahawa manusia Hobbit atau dikenali dengan nama saintifik, Homo floresiensis itu mempunyai saiz menyamai manusia moden ketika hidup di kepulauan itu sekitar sejuta tahun lalu.
Namun, sesuatu yang pelik kemudian berlaku.
Manusia prasejarah itu semakin mengecil daripada generasi ke generasi sehingga saiz dan berat mereka kurang separuh daripada asal.
Proses itu yang dinamakan kesan “kekerdilan pulau” diketahui berlaku pada haiwan dengan sebahagian spesies mengecil sehingga enam kali ganda untuk beradaptasi dengan persekitaran pulau yang mempunyai sumber terhad.
Kepulauan Flores juga menjadi habitat gajah kerdil, Stegodon yang kini pupus.
Fosil itu merupakan bukti fizikal pertama spesies manusia menjadi kerdil selepas tersisih di daratan yang bertukar menjadi pulau akibat kenaikan paras laut. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan